Ayah saya meninggal dunia semasa saya berusia 7 tahun. Sejak
itu, saya tidak pernah merasai kasih sayang seorang ayah, sehinggalah saya
berumahtangga pada tahun 2001. Terima kasih Allah kerana memberikan saya
seorang bapa mentua yang sangat baik, lembut dan penyayang.
Allah pinjamkan Abah untuk saya selama 11 tahun.
Ya, bapa mentua yang saya panggil Abah telah pergi buat
selama-lamanya pada 18 Julai 2012. Kami redha dengan ketentuanNya, walaupun
berita itu terlalu mengejutkan, kerana Abah tiada sebarang penyakit serius
kecuali sesekali diserang penyakit gout dan tekanan darah tinggi. Tambahan pula, Abah menghembuskan nafas
terakhirnya di bumi asing, di Manchester, United Kingdom.
| Arwah Abah di London. |
Abah dan Mak (Ibu mentua saya) berada di Manchester sejak 12 Mei 2012 untuk menemani anak ketiga mereka, Dr Naqibah yang bakal bersalin anak kedua. Qibah sebenarnya sedang menyambung pengajiannya di peringkat PhD di sana. Disebabkan suaminya Dr Khairul terpaksa pulang ke Malaysia (kerana dia juga sedang belajar dan bekerja di Hospital UIA, Kuantan), Abah dan Mak bersetuju untuk ke sana selama 6 bulan. Rancangannya, mereka akan pulang ke tanah air pada bulan November nanti. Kami pada mulanya rasa “surprise” juga kerana Abah dan Mak beriya-iya hendak ke sana, walaupun terpaksa meninggalkan rumah agak lama. Sesungguhnya manusia mampu merancang namun pastinya Allah jugalah sebaik-baik perencana...
| Abah dan Mak di Brussels |
| Berkesempatan bertemu Dr Mohd Asri Zainal Abidin, bekas mufti Perlis, di Cambridge University, UK |
18 Julai 2012 – Lebih kurang pukul 2ptg waktu Manchester (pukul 9mlm waktu Malaysia)
Abah, Mak dan Qibah merancang untuk keluar ke Pejabat Pos. Cadangnya, Abah mahu mengirim sekeping poskad buat Ustaz Anuar, sahabatnya di Masjid Muqarrabin Bandar Tasik Selatan, yang baru saja menjadi johan dalam pertandingan Tilawah Al Quran peringkat antarabangsa yang lalu. Poskad bergambar bas double decker “London” itu menjadi saksi segalanya. Disebabkan Qibah baru bersalin 3 minggu, biasanya Abahlah yang memandu kereta Qibah. Entah kenapa, petang itu, kereta yang baru dibeli itu enggan dihidupkan. Enjinnya langsung tidak dapat dihidupkan, malahan tiada sebarang bunyi pun yang keluar dari kereta itu. Mereka lantas membatalkan rancangan untuk keluar. Abah seolah-olah tidak berpuas hati dan ingin cuba menghidupkan semula kereta itu. Abah keluar semula dari rumah dan terus mencuba. Setelah seketika Abah belum naik ke rumah, Qibah pergi mendapatkan Abah. Pada masa itu, Abah berada di dalam kereta, dan kelihatan sukar untuk membuka pintu kereta, mungkin kerana autolock, lalu Qibah segera membuka pintunya. Mereka masuk ke rumah bersama-sama. Semuanya baik-baik saja, Mak berada di pintu rumah, Qibah berada di sofa, anak sulung Qibah, Salahuddin Al Ayyubi yang baru berusia 3 tahun, sedang bermain berdekatan mereka.
Sebaik masuk ke rumah, Abah memberitahu Qibah yang kereta itu perlu di “jump start”. Tiba-tiba, Abah jatuh. Jatuh ke lantai. Segera disambut oleh Qibah yang berada betul-betul di depan Abah. Mak meluru ke arah Abah. Salahuddin terjerit-jerit memanggil Atuknya. Saya dapat membayangkan suasana panic pada masa itu. Mak segera ajarkan dua kalimah syahadah kepada Abah. Dalam keadaan separuh sedar, Abah cuba menyebut “Lailahaillallah, Muhammadurrasulullah”…
Kebetulan pada masa itu telefon bimbit ada di tangan Qibah. Segera Qibah dail “999” disambut pantas oleh operator bertugas. “We’re on our way, meanwhile, please follow my instruction.” Kata operator itu sambil mengajarkan Qibah membuat CPR kepada Abah. Qibah dan Mak baringkan Abah di lantai dan membuat CPR tetapi tidak berjaya. Sepantas 3 minit kemudian, ahli paramedic dari General Hospital North Manchester tiba di rumah Qibah. Setelah percubaan mereka membuat CPR juga tidak menunjukkan sebarang hasil, Abah segera dikejarkan ke hospital. Namun, tiada apa lagi yang dapat dilakukan. Abah telah pergi buat selama-lamanya. Tanpa tanda, tanpa pesan…
| Poskad London untuk Ustaz Anuar yang berada dalam jaket yang dipakai Abah semasa menghembuskan nafas terakhirnya... Poskad yang menyaksikan segalanya... |
Semuanya berlaku terlalu pantas. Kami dihubungi oleh Khairul, suami Qibah yang pada masa itu berada di Kuantan. Ya Allah,ujian apakah ini? Kami terduduk, terdiam dan terpaku. Terbayang-bayang suara Abah, wajah Abah yang sungguh ceria menceritakan pengalamannya mengelilingi Eropah bersama anak-anak dan menantunya sebaik tiba di Manchester Mei lalu. Teringat2 lagi kata Abah melalui Facetime kepada kami “Kamu mesti datang, sini best… Abah dah pegi semua dah, Abah ada pegi Paris, pegi Holland, rugi kamu tak datang!” Setiap kali berFacetime dengan Abah, tak pernah Abah menunjukkan wajah sedih. Di minggu-minggu terakhir hayatnya, Abah banyak menelefon anak-anak dan saudara-mara di Malaysia, bercerita dengan cerianya, namun kami tidak tahu, rupanya setiap kali memutuskan panggilan, Abah akan menangis. Kata Mak, mungkin Abah dapat merasakan yang kami semua tidak akan bertemu lagi dengannya.
| An evening in Paris |
| Alhamdulillah sempat menjelajah negara orang |
| The last family outing |
| Berkesempatan mengunjungi Stonehenge di Scotland |
| Di Stonehenge |
19 Julai 2012 - Kami pulang ke Kuala Lumpur, tanpa sebarang kepastian apa yang harus dilakukan.
Berita dari Manchester sekali lagi membuat kami terduduk. Jenazah Abah terpaksa melalui proses post-mortem! Ya Allah… Sesungguhnya ini satu ujian maha besar buat kami sekeluarga! Di UK, tiada istilah “mati mengejut” ataupun “natural death”, setiap kematian pastinya ada puncanya. Namun, disebabkan Abah tiada rekod kesihatan di sana, prosedur negara itu mewajibkan Abah dibedah siasat. Adik iparku, Nasrul segera menghubungi pihak konsulat di London untuk meminta bantuan. Malangnya, perkara ini di luar bidang kuasa mereka. Kami faham dan redha, kerana kematian Abah di negara orang, pastinya banyak prosedur yang perlu dilalui. Lebih menyebakkan, post mortem hanya boleh dijalankan pada hari Isnin iaitu 4 hari selepas itu memandangkan proses post mortem hanya dilakukan pada hari bekerja. Apakan daya kami, tak mampu menyegerakan proses pengebumian Abah. Ramai pihak menghulurkan bantuan. Rakyat Malaysia yang berada di seluruh UK turut datang menziarah mereka di Manchester.
Malam itu, kami adik-beradik di Kuala Lumpur bermesyuarat. Apa yang harus dilakukan? Patutkah jenazah Abah dibawa balik ke Malaysia? Patutkah dikebumikan saja di sana? Sepanjang 2 hari pertama, Mak langsung tidak dapat bercakap, hanya air mata mengiringi setiap perbualan dengan kami di Malaysia. Akhirnya, suami saya dan adiknya Nasrul membuat keputusan untuk terbang ke Manchester. Setelah keputusan dibuat, tiba-tiba telefon berdering. It was Mak! Ayat-ayat yang keluar dari bibir Mak mengubah segala perancangan. "Mak nak bawak balik (jenazah Abah ke Malaysia) juga. Cuma itu saja yang tinggal. Siapa nak tengokkan kubur kat sini?" Semasa bercakap dengan Qibah, katanya, mereka turut mendapat nasihat dari Ustaz Erfino Johari, seorang ustaz yang bertugas di Malaysia Student Department di London. Kalau tak silap saya, ibu ustaz juga meninggal dunia semasa di UK. Kata ustaz, "Sebenarnya, hak untuk anak-anak melihat jenazah ibu atau bapanya sebelum dikebumikan itu adalah lebih besar berbanding hak untuk menyegerakan pengebumian jenazah."
Akhirnya, itulah keputusannya. jenazah Abah akan dibawa pulang!
20 Julai 2012 - Khairul (biras saya, menantu Arwah Abah, suami Qibah) terbang ke Manchester. Banyak yang harus dilakukan. Lagipun, passport baby mereka pun belum dibuat lagi! Kami pula membuat keputusan untuk pulang dulu ke Kuala Terengganu. Tiada apa yang dapat kami lakukan di sini selagi jenazah Abah belum dibedahsiasat.
24 Julai 2012 - Kami kembali semula ke Kuala Lumpur untuk menguruskan beberapa perkara. Saya terpaksa mengambil Cuti Tanpa Gaji untuk beberapa hari memandangkan sebagai menantu, saya tidak layak mengambil cuti kecemasan kematian ahli keluarga. Saya diberitahu, untuk kakitangan awam, ahli keluarga bermaksud "ibu/bapa/suami/isteri/anak-anak" sahaja. Sedikit terkilan di hati, kerana pastinya mentua itu darjatnya sama seperti ibu bapa sendiri. Namun apakan daya, pekerjaan seperti saya, saya harus akur perintah Walaupun CTG bakal memberi kesan pada pencen saya nanti, saya yakin Allah akan menggantikannya dengan rezeki yang lain pula, InsyaAllah...
Petangnya, kami menerima berita yang menyejukkan hati... Jenazah Abah selamat dibedahsiasat. Hasilnya, punca kematian diketahui: Acute Cardiac Arrythmia, Coronary Artery Thrombosis dan Coronary Artery Artheroma. Kemudian, jenazah Abah dibawa ke Longsight Darul Ulum untuk dimandikan, dikapankan dan disembahyangkan. Mendengar cerita Khairul yang memandikan sendiri jenazah Abah, tiada kata selain syukur kepada Allah... Menurut Khairul, walaupun sudah 6 hari meninggal dunia, jenazah Abah berbau wangi, wajah Abah tersenyum, malahan senyum Abah sungguh lebar sehingga kelihatan giginya! Subhanallah! Maha suci Allah. Setelah dimandikan dan dikapankan, masyaAllah sungguh ramai jemaah yang menunaikan solat jenazah untuk Abah! Ada orang Melayu, orang Inggeris, orang Arab, orang Pakistan, dan lain-lain lagi. Lebih kurang 500 orang yang menunaikan solat jenazah. Doanya pula dibacakan dalam Bahasa Urdu, mungkin kerana Longsight Darul Ulum itu dimiliki oleh orang Pakistan.
25 Julai 2012, kami menunggu kepulangan jenazah Abah untuk disemadikan.
Seawal jam 1 tghr, Masjid Muqarrabin sudah mula dipenuhi oleh ahli keluarga dan sahabat handai walaupun penerbangan Emirates yang membawa jenazah dijangka tiba pada pukul 3 ptg di KLIA.
| Van jenazah yg menjemput Arwah Abah di KLIA |
Disebabkan flight delayed, jenazah hanya tiba di Masjid Muqarrabin pada pukul 6 ptg. Setelah disembahyangkan sekali lagi, jenazah Abah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Salak South untuk dikebumikan.
Akhirnya, alhamdulillah, saat azan Maghrib dilaungkan menandakan masuknya waktu berbuka puasa bagi seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, jenazah Abah selamat disemadikan. Kami berbuka di pusara Abah dengan air mineral dan kurma sumbangan Kak Mulia, anak saudara Abah. Walaupun sudah senja, ramai yang tidak berganjak dari kuburan. Sungguh, Abah disayangi semua insan yang mengenalinya. Syukur sekali lagi, impian suami saya untuk mengebumikan sendiri ayahnya tercapai. Paling sayu bila membaca status suami saya di Facebook: "Subhanallah, Maha Suci Allah yg memberi pengakhiran yg baik buat Almarhum Ayahandaku Hj Ghazali bin Hj Said. Walaupun sudah seminggu, jasadnya masih segar, badannya masih lembut saat kudakap dan kuletakkan di liang lahad. Wajahnya tenang seperti sdg tidur, bibirnya seperti tersenyum. Ya Allah, Kau ampunilah dosa2 arwah Abah & tempatkan dia di sisi hamba2Mu yg beriman. Terima kasih Ya Allah krn mempermudahkan segalanya, & terima kasih buat semua yg sentiasa memberi kekuatan."
Subhanallah... Mendengar kata-kata saudara-mara, jiran tetangga tentang jenazah Abah yang kelihatan segar seperti baru selesai dimandikan. Ayat-ayat seperti "Dia orang baik..." "Orang kuat solat, begitulah pengakhirannya..." berulangkali hinggap di telinga saya. Benar, saya akui. Arwah Abah memang sangat baik orangnya.
| Destinasi terakhir |
| Selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Salak South |
Arwah Abah sebenarnya seorang ustaz, seorang bilal dan selalu juga menjadi imam masjid. Abah memiliki sijil 4 Thanawi dari Maahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol, Perak yang sememangnya melayakkan Abah menjadi seorang ustaz. Tetapi disebabkan kurangnya peluang pekerjaan pada masa itu, Abah memilih untuk menceburi bidang ketenteraan.
![]() |
| Gambar lama Arwah Abah semasa bertugas di Rejimen Semboyan, Angkatan Tentera Diraja Malaysia |
Setelah pencen askar, Abah bertugas pula sebagai technician di Telekom Malaysia (TM) sehingga pencen wajib di usia 55 tahun. Sejak itu, Abah menjadi pemandu Mak yang juga seorang guru agama, membawa Mak ke mana saja Mak dijemput untuk menyampaikan ceramah.
![]() |
| Gambar keluarga semasa majlis perkahwinan adik ipar saya, Nahariah di Bera, Pahang |
Abah seorang yang sangat suka bergambar, terutamanya bergambar bersama keluarga. Tahun lepas, hanya kami sekeluarga yang pulang beraya di Kuala Lumpur memandangkan adik-adik ipar saya masing-masing beraya di rumah mentua. Biasanya selepas bersolat sunat hari raya, kami akan pulang ke kampung di Kuala Kangsar, Perak, tetapi tahun lepas saya mencadangkan kami semua beraya di Istana Negara memandangkan DYMM SPB YDP Agong mengadakan "Istana Terbuka". Tanpa disangka, Abah bersetuju. Pastinya pengalaman hari raya tahun lepas sesuatu yang lain dari hari raya sebelum-sebelumnya.
| Di Istana Negara, Anas Nukman dan Arwah Atuk nya... |
| Kenangan Aidilfitri 2432H. Gambar keluarga kami yang terakhir bersama Arwah Abah. Diambil di Studio di Serdang, sebaik pulang dari Istana Negara. |
| Keesokannya, kami pulang ke Kuala Kangsar. Ini antara gambar keluarga kami di rumah Abang Mat di Taiping, Perak. |
Sebenarnya, saya ingin menulis macam-macam lagi kisah bersama Abah. Mungkin lain kali. Kerana masa berbuka puasa pun sudah hampir menjelma. Esok Mak akan kembali ke Malaysia. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan Mak selepas ini. Saya harap, kami anak-anak dan menantu-menantu Mak dapat membantu Mak melalui hari-hari mendatang dengan lebih tenang.
Ya Allah, ampunilah Allahyarham Hj Ghazali bin Hj Said, naikkanlah darjatnya di antara orang-orang yang mendapat hidayah, dan lindungilah keluarga dan keturunannya yang masih hidup. Ampunilah dia dan kami, wahai Tuhan sekelian alam, luaskanlah kubur baginya dan berikanlah cahaya di dalamnya.
Amin... Amin... Ya Rabbal 'alamin...
P/S Di kesempatan ini, mewakili seluruh ahli keluarga Allahyarham, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang memberi bantuan dan sokongan, sama ada di Malaysia mahupun di United Kingdom. Kepada pihak Kedutaan Malaysia di London, Education Malaysia UK&;EIRE, jiran-jiran dan rakan-rakan Dr Naqibah &; Dr Khairul yang banyak membantu, juga buat sanak saudara di London, di Perak, di Kuala Lumpur, malahan ahli keluarga saya sendiri yang turut hadir dari Terengganu, juga rakan-rakan dan kenalan (termasuk ustaz dan rakan-rakan lama saya sejak zaman persekolahan dulu - Ustaz Rujhan, Kak Onie, Kak Matun & keluarga, Intan, Linda, dll), rakan-rakan suami (dan bekas anak didik nya dari SM Sains Labuan pun ada), rakan-rakan sekerja adik ipar saya dari Kementerian Kerja Raya yang turut bersama di Tanah Perkuburan, semua sekali yang tidak mampu saya sebutkan namanya satu persatu di sini, TERIMA KASIH. Ucapan penghargaan khas untuk penduduk Apartment Kos Rendah BTS yang diketuai oleh En. Hashim, tanpa bantuan kalian, pastinya kami terkapai-kapai tanpa haluan.
P/S Di kesempatan ini, mewakili seluruh ahli keluarga Allahyarham, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang memberi bantuan dan sokongan, sama ada di Malaysia mahupun di United Kingdom. Kepada pihak Kedutaan Malaysia di London, Education Malaysia UK&;EIRE, jiran-jiran dan rakan-rakan Dr Naqibah &; Dr Khairul yang banyak membantu, juga buat sanak saudara di London, di Perak, di Kuala Lumpur, malahan ahli keluarga saya sendiri yang turut hadir dari Terengganu, juga rakan-rakan dan kenalan (termasuk ustaz dan rakan-rakan lama saya sejak zaman persekolahan dulu - Ustaz Rujhan, Kak Onie, Kak Matun & keluarga, Intan, Linda, dll), rakan-rakan suami (dan bekas anak didik nya dari SM Sains Labuan pun ada), rakan-rakan sekerja adik ipar saya dari Kementerian Kerja Raya yang turut bersama di Tanah Perkuburan, semua sekali yang tidak mampu saya sebutkan namanya satu persatu di sini, TERIMA KASIH. Ucapan penghargaan khas untuk penduduk Apartment Kos Rendah BTS yang diketuai oleh En. Hashim, tanpa bantuan kalian, pastinya kami terkapai-kapai tanpa haluan.


5 comments:
Amie,such a beautiful tribute to ur late father in law..semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang dikasihiNya..
Mah..I'm speechless! Dari Allah kita datang, kepadaNya kita kembali..Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas rohnya dan memberikan ketenangan kepada orang-orang yang ditinggalkannya..Amin.
Sayu saya membacanya...Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas.. Amin.. (kwn Hazelin)
subhanallah.. i got something from this post. neway thnx a lot!
There are no other better words to say than syukran, thank you dear for this meaningful post. May Allah bless our family.
Post a Comment